Resolusi Konvensyen Konvensyen_Pertanian_Kebangsaan_2007

Konvensyen ini telah mencadangkan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa kabinet di peringkat kebangsaan dan negeri agar dapat menyusun semula institusi dan akta berkaitan sektor pertanian negara supaya rakyat dapat menghayati sektor pertanian sebagai satu perniagaan. Tambahan pula, kurikulum vokasional pertanian perlu diwujudkan semula di sekolah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar, manakala aspek pertanian dimasukkan dalam modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Resolusi ini juga mencadangkan diwujudkan syarikat-syarikat 'anchor' Melayu dalam bidang agroperniagaan untuk merealisasikan harapan kerajaan menjadikan pertanian sebagai enjin ketiga industri negara selepas perkilangan dan perkhidmatan.

Konvensyen turut mengusulkan kewujudan Institut Teknologi Pertanian Malaysia (ITPM) dengan dana khusus bagi tujuan memantapkan latihan pertanian untuk melahirkan kelas pertengahan Melayu berkemahiran dan terlatih dalam bidang pertanian.

Resolusi-resolusi

Resolusi Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 turut mencadangkan:

  • Mewujudkan satu peruntukan bagi syarikat IKS Melayu (B2) di setiap tahap rantaian bekalan di dalam bidang yang berkaitan.
  • Mencadangkan kerajaan memastikan pasaran yang kompetitif dan tidak membebankan pengeluar, pemproses, dan pengguna serta kondusif kepada pembangunan perniagaan orang Melayu.
  • Menubuhkan satu badan (pusat sehenti) untuk membantu usahawan Melayu di dalam agrobisnes dan rangkaian bekalan terutama sekali untuk mengatasi monopoli oleh orang bukan Melayu dalam menembusi pasaran global.
  • Mewujudkan satu pangkalan data berpusat yang dikemas kini secara berterusan untuk mengenal pasti keperluan sumber insan melalui pemantauan projek pertanian, merancang keperluan latihan dan mengenalpasti penggunaan sumber insan yang bersesuaian dengan mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber tersebut.
  • Mencadangkan penjaminan kesahihan produk halal dari Malaysia dengan memastikan pematuhan kepada syarat-syarat syariah dari segi sumber, proses dan pengendalian seluruh rantaian dari ladang ke meja makan.
  • Mencadangkan penambahan peruntukan bagi memperkukuh infrastruktur IKS Melayu untuk memenuhi keperluan Amalan Pengilangan yang Baik (GMP) dan Hazard Analysis Critical Control Points (HACCP) supaya dapat meningkatkan tahap keselamatan makanan bagi menembusi pasaran eksport.
  • Mencadangkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani atau koperasi Melayu membangunkan pasar raya atau hypermarket dalam usaha untuk mewujudkan lebih banyak pusat pengedaran produk halal bagi mengatasi karenah pengurusan hypermarket yang sedia ada.
  • Mencadangkan agar agensi kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) dan usahawan Melayu perlu menceburi seluruh rantaian bekalan (supply chain) industri halal iaitu pengeluaran bahan mentah, pengeluaran produk, pengangkutan, penyimpanan dan pengedaran.
  • Mewujudkan jaringan kerjasama antara GLC, institusi pendidikan kerajaan dan swasta dalam melahirkan tenaga mahir dan kepakaran di semua peringkat termasuk latihan kepimpinan, keusahawanan, pembangunan teknologi.
  • Mewujudkan sekretariat tetap yang terdiri dari wakil-wakil agensi kerajaan dan ahli-ahli parti yang komited dan berdedikasi untuk merangka Strategi dan Pelan Tindakan ke arah merealisasikan Resolusi Konvensyen 2007 ini melalui penganjuran forum-forum dan diskusi panel pakar.
  • Memperkasa semula Unit Penyertaan Bumiputera di setiap kementerian yang bertanggungjawab membangunkan industri pertanian, dan
  • Menubuhkan sebuah perbadanan bagi pembangunan yang komprehensif bagi warga nelayan.